Stress dalam Kalangan Guru- Faktor dan Cara Menangani
1.0 PENGENALAN
Peranan guru amat penting dewasa ini,
ia adalah domain utama yang perlu dilaksanakan dengan penuh amanah dalam proses
penerapan dan penyampaian ilmu kepada anak bangsa. Ledakan era globalisasi
turut mengheret kemajuan pesat bidang pendidikan negara. Hal ini menuntut warga
pendidik untuk membangunkan diri, sama ada secara rela atau tidak supaya selari
dengan bidang pendidikan yang sememangnya sentiasa berubah dan mengalami pembaharuan
dari masa ke semasa. Situasi inilah secara umumnya telah mengakibatkan warga
pendidik terpaksa berhadapan dengan pelbagai tugas dan tanggungjawab yang
lebih mencabar, lebih berat dan semakin terbeban. Situasi inilah menyebabkan
guru-guru dikatakan sangat terdedah kepada risiko tinggi untuk mengalami stres.
Dipetik
daripada Utusan Online ruangan Gaya Hidup bahagian pendidikan oleh Noor Hamizah
Abu Bakar di dalam artikelnya yang bertajuk; Guru Lebih Stes, menyatakan hasil
kajian mendapati bahawa guru berada di kedudukan keempat dalam kerjaya yang
paling mencetuskan tekanan atau stres terutama dari segi fizikal selepas polis,
pegawai penjara dan jururawat. Malah, kedudukan itu berada di atas daripada
profesion tentera yang menduduki tempat ke lima.
Stres di
kalangan guru merupakan topik popular yang tidak asing lagi dibincangkan oleh
media massa mutakhir kini. Di Malaysia, stres di kalangan guru dilaporkan
meningkat pesat selari dengan kepesatan pembangunan pendidikan di Malaysia.
Laporan berkenaan masalah dan salah laku guru di dada-dada akhbar, hampir
kesemuanya adalah kesan daripada kegagalan guru-guru berkenaan menguruskan
stres dalam diri. Masalah stres dikalangan guru haruslah dikenal pasti dan
diketahui punca sebenar seterusnya ditangani sewajarnya. Sekiranya tidak
ditangani masalah ini akan merebak sehingga mengakibatkan
permasalahan-permasalahan yang serius yang berhubung kait rapat dengan gangguan
emosi, perubahan dalam tingkah laku seterusnya “burn out” yang
menghalang mereka daripada melaksanakan tugas dan tanggungjawab dengan lebih
berkesan (Kyriacou dan Sutcliffe, 1978).
2.0 DEFINISI STRES
Stres merupakan perkataan pinjaman yang
bersal daripada perkataan bahasa Inggeris; “stress” yang membawa maksud
tekanan, titik berat, dan ketegangan.
Kamus Oxford
pula mendefinisikan stres sebagai satu tekanan atau desakan, usaha, tuntutan ke
atas keupayaan fizikal atau mental.Ini bermaksud stres adalah suatu keadaan
dimana kekuatan fizikal, mental dan emosi seseorang individu teruji melampaui
keupayaan tubuh dan mindanya yang tidak mampu menahan dan menanggungnya lagi.
Menurut Statt
(1981), stres ialah ketegangan fizikal dan psikologi yang berpanjangan untuk
suatu masa, yang boleh menggugat keupayaan seseorang untuk mengendali suatu
situasi.
Hans Selye
(1963), telah memberikan maksud yang berbeza mengenai stres dengan membuktikan
di dalam kajiannya terhadap binatang. Beliau menunjukkan bahawa stres boleh
menyebabkan penyakit, seterusnya penyakit yang dihidapi akibat daripada stres
yang berlebihan boleh membawa maut. Daripada kajian beliau juga mendapati
stres juga boleh berlaku ke atas manusia.
Secara
keseluruhannya stres adalah :
· Ketidakupayaan
memenuhi tuntutan persekitaran.
· Gangguan
fungsi kehidupan.
· Perubahan
dinamik yang menyebabkan individu berdepan dengan masalah, kekangan dan
desakan hidup.
· Peristiwa
atau keadaan persekitaran yang mendatangkan akibat yang negatif.
· Tekanan
yang mengakibatkan kebimbingan, keletihan dan ketegangan kepada individu.
· Tindak
balas luaran yang mengganggu mental dan fizikal atau tindak balas kimia dalam
tubuh.
3.0 FAKTOR-FAKTOR
STRES DI KALANGAN GURU
Terdapat banyak punca berlakunya stres dikalangan guru. Faktor-faktor ini dapat
dibahagikan kepada lima faktor utama;
· Faktor
diri.
· Faktor
interpersonal.
· Faktor
organisasi.
· Faktor
kekurangan sumber.
3.1 Faktor diri
Pada zaman yang
sangat mencabar, pekerjaan yang diimpikan amat sukar untuk diperolehi.
Kebanyakan mahasiswa keluaran universiti-unversiti tempatan terpaksa mengangur
begitu lama untuk mencari pekerjaan yang selesea, mudah, dan menjanjikan gaji
yang lumayan.
Profesion
keguruan sering dilihat sebagai pilihan terakhir. Sering kali profesion ini
dianggap sebagai profesion peringkat pertengahan di bawah profesion
professional yang lain seperti doktor, jurutera, peguam dan lain-lain. Ini
menyebabkan ramai dikalangan guru yang tidak ikhlas semasa memilih profesion
ini. Mereka meramalkan profesion ini begitu selesa dan tidak menyusahkan kerana
beranggapan tanpa latihan asas pun mereka masih boleh menjadi guru dan menerima
gaji bulanan yang lumayan disamping cuti yang banyak.
Hal ini
menyebabkan golongan guru seperti ini menghadapi tekanan sebaik sahaja
menjalani kehidupan sebagai seorang guru kerana realiti situasi yang dihadapi
tidak seperti apa yang diramalkan. Menjadi seorang guru bukanlah sesuatu yang
mudah. Insan guru mestilah insan yang ikhlas dan sanggup berkorban.
3.2 Faktor
Interpersonal
Daripada kajian
yang telah dijalankan, Azizi Yahya (2007) mendapati diantara faktor
interpersonal stres dikalangan guru ialah meraka merasakan diri mereka tersisih
daripada rakan sekerja. Selain daripada itu, rakan guru juga mementingkan diri
serta tidak menghormati tindakan, perasaan serta pendapat dari rakan guru yang
lain.
Hal ini
sepatutnya tidak berlaku kerana setiap insan guru perlulah meningkatkan
motivasi diri, menanam sikap tolong menolong, bekerjasama dalam menyelesaikan
sesuatu tugasan yang ditetapkan. Di samping menghormati perasaan dan pendapat
rakan sekerja dengan hati yang terbuka dan cuba mempertingkatkan kelemahan yang
ada pada diri.
3.3 Faktor Organisasi
Faktor
organisasi merupakan antara faktor yang terbesar menyebabkan stres dikalangan
guru. Faktor ini juga merupakan faktor yang utama dalam sektor awam selain
guru.
Antara
faktor-faktor stres yang dikategorikan sebagai faktor organisasi ialah;
· Semua
kerja perlu segera - kesuntukan masa.
· Tugasan
kerja berterusan (kronik).
· Perbezaan
persediaan tugas dengan ketetapan tugas.
· Tugasan
kerja kerana kuantitatif dan kualitatif.
· Perubahan
dasar yang drastik.
Faktor-faktor
yang diatas secara umumnya terus menerus berlaku dalam profesion keguruan dan
telah menambah beban guru. Dipetik daripada arkib Utusan Online bertarikh
18 Mei 2009, Presiden Kesatuan Perkhidmatan Perguruan Kebangsaan (NUTP), Hashim
Anang di dalam laporan yang bertajuk; Beban Tugas boleh Bawa Tekanan Perasaan
Guru, menegaskan bahawa peningkatan beban tugas dan tekanan kerja menyebabkan
semakin ramai kalangan guru terdedah kepada risiko mengalami tekanan perasaan.
3.4 Faktor kekurangan
Sumber.
Kekurangan
sumber terutamanya sumber tenaga manusia merumitkan lagi masalah stres yang
dihadapi dalam bidang keguruan. Kekurangan guru sememangnya diakui merupakan
faktor yang rumit dan sukar diatasi. Hal ini menabahkan lagi bebanan kerja
guru-guru sedia ada secara terus menerus. Tahap stres guru sememangnya
bertambah berikutan keadaan jumlah guru yang kurang dan tidak seimbang serta
peningkatan jumlah murid tahun, guru-guru seringkali memikul tanggung jawab dan
bebanan yang banyak.
Aziz Yahya
(2007) menegaskan diantara faktor stres dikalangan guru ialah mereka terpaksa
melakukan tugas yang bertentangan dengan bidang, kemahiran dan kehendak mereka.
Hal ini sama sekali tidak akan berlaku sekiranya bilangan guru di sekolah
mencukupi.
4.0 MENGENDALIKAN
STRES DI KALANGAN GURU
Kesemua faktor
yang menyumbang kepada masalah stres di kalangan guru seharusnya diambil
perhatian sepenuhnya oleh semua pihak seterusnya di atasi dengan cara yang
palin sesuai dan berkesan. Sebagai tunggak pendidikan negara, guru sememangnya perlu
bijak menangani segala isu pendidikan agar dapat mengawal stres. Oleh itu, guru
perlu bijak dalam mengendalikan stres. Kegagalan guru untuk mengendalikan stres
memberikan kesan negatif kepada kesejahteraan fizikal, mental dan emosi guru
sekaligus menjejaskan profesion keguruan dan bidang pendidikan negara.
Stress dalam
kalangan guru dapat dikendalikan dengan strategi berikut:
4.1 Kenal pasti
reaksi emosional.
Apabila
keperluan emosi dapat dikenal pasti maka seseorang guru boleh menangani stress
dengan cara yang lebih positif. Contoh situasi, seorang guru perempuan tidak
bersefahaman dengan pengetua di sekolahnya. Guru tersebut telah menangani
stress dengan cara yang negatif, iaitu menengking pengetua itu. Setelah guru
tersebut mengetahui keperluan emosi dalam dirinya, guru tersebut sedar bahawa
tindakannya adalah kerana suatu masa dahulu ayahnya telah menggunakan
pendekatan yang sama oleh pengetua itu, iaitu lagak bapa yang menghukum
anaknya. Guru tersebut sedar bahawa dia inginkan pengetua itu menghargai
beliau. Guru tersebut telah berhadapan dengan pengetua dan memberitahu
perasaannya itu. Akhirnya, hubungan mereka berjaya dipulihkan.
4.2 Komitmen sosial.
Apabila berhadapan dengan stress, guru
memerlukan sokongan daripada orang-orang di sekelilingnya. Oleh itu, komitmen
sosial amatlah penting.
4.3 Kehidupan fizikal.
Stress
menjejaskan kesihatan dari segi imunisasi tubuh. Oleh itu, seseorang guru harus
tahu teknik yang berkesan untuk menangani stress terutamanya menjelang
waktu-waktu tekanan memuncak seperti musim peperiksaan pelajar dan pertukaran
pentadbiran di sekolah.
Pengetahuan
dalam senaman rutin dan pelan makanan seimbang boleh membantu guru menangani
stress. Seorang guru perlu memberi perhatian kepada penjagaan kesihatan dan
kecergasan diri. Perbanyakkan melakukan dan menyertai aktiviti yang menjurus
kepada senaman berbentuk fizikal seperti aerobik dan bermain badminton serta
melakukan secara beramai-ramai bagi menimbulkan suasana yang harmoni dan penuh
gelak-ketawa.
Selain dari
menjaga kecergasan diri, guru juga boleh bersosial dengan teman-teman rapat
dalam masa yang sama untuk bertukar-tukar pandangan dan pendapat tentang
sesuatu isu.
Semua guru
haruslah mengamalkan gaya hidup yang sihat dalam kehidupan seharian. Ini termasuklah
menjaga soal pemakanan dengan pengambilan makanan yang seimbang serta banyak
menghabiskan masa dengan keluarga dan mengelakkan gaya hidup yang negatif
seperti merokok, minum arak, berhibur di kelab malam dan sering tidur lewat.
4.4 Intelek
Guru hendaklah
bergaul dengan golongan yang memiliki tahap intelek yang serupa dengan mereka
kerana aspek intelek boleh membantu guru menangani stress (Gold Yvonne dan A.
Roth Robert, 1993).
Dengan menjadi
guru tidak semestinya kita tidak perlu menambah ilmu pengetahuan terutamanya
dalam mengetehui cara mengatasi stres. Guru seharusnya terus memperbanyakkan
maklumat mengenai pengurusan tekanan dari pembacaan buku ataupun rencana akhbar
mahupun menonton rancangan-rancangan berkaitan di televisyen. Lebih banyak
maklumat yang diperolehi maka lebih mudahlah untuk seseorang guru
mengurus tekanannya.
Stress jika
dibiarkan, boleh mendatangkan kesan sampingan yang tidak baik. Justeru adalah
penting untuk mengubah diri individu untuk menangani stress dengan cara yang
terbaik. Kenal pasti punca yang menyebabkan masalah tersebut dan ubah. Dengan
mengetahui punca stress tersebut, individu bukan hanya meringankan masalah kini
malah menghindarkan berulangnya masalah serupa pada masa akan datang.
Contohnya, jika seseorang guru kecewa dengan perbalahan dengan pelajarnya, guru
tersebut mungkin menyedari bahawa punca kekecewaannya itu bukan disebabkan oleh
tingkah laku pelajar tetapi harapan yang tidak realistik guru berkenaan. Dengan
mengubah standard yang ingin dicapai, guru tersebut akan mendapati bahawa
tingkah laku pelajar tidak lagi mengganggunya.
Bagi mengatasi
masalah tersebut juga, Goleman (1999) telah menyarankan lima faktor atribusi
terhadap masalah stress atau burnout. Faktor- faktor tersebut ialah:
a) Kesedaran Kendiri (self-awareness)
b) Pengawalan Kendiri (self-regulation)
c) Motivasi Kendiri (self-motivation)
d) Empati
e) Kemahiran Sosial (social skills)
Faktor atribusi
pertama iaitu kesedaran kendiri bermaksud kebolehan seseorang guru untuk
mengetahui perasaan mereka dalam satu-satu situasi dan keupayaan mereka untuk
memilih keutamaan panduan dalam membuat keputusan. Seseorang guru yang
mempunyai kesedaran kendiri juga mempunyai penilaian yang realistik tentang
keupayaan diri dan mereka mempunyai keyakinan diri yang utuh.
Pengawalan
kendiri (self-regulation) dimaksudkan sebagai kebolehan mengurus emosi agar
ianya memudahkan dan bukannya mengganggu dalam menyelesaikan sesuatu tugasan.
Guru yang boleh mengawal diri mereka sentiasa berhemah dan boleh menangguhkan
sementara perasaan negatif mereka. Guru sedemikian juga cepat pulih daripada
tekanan emosi.
Guru yang
mempunyai motivasi kendiri (self-motivation) berupaya menggunakan kehendak diri
dalam menggerak dan memandu arah mereka untuk mencapai sesuatu tujuan. Motivasi
kendiri boleh membantu seseorang dalam mengambil inisiatif dan
bersungguh-sungguh untuk memperbaiki diri. Individu dengan motivasi kendiri
yang tinggi sentiasa tabah apabila menghadapi masalah atau dalam keadaan
kekecewaan yang tinggi.
Empati
merupakan faktor atribusi yang boleh membantu seseorang mengesan perasaan orang
lain. Sifat berempati juga membolehkan seseorang guru melihat atau memahami
sudut pandangan orang lain. Sifat ini juga boleh menjadi faktor pencetus dan
penyubur kemesraan dan keserasian dengan individu dari pelbagai latar belakang.
Individu yang mempunyai sifat empati boleh menyelami keperitan, kesusahan,
kekecewaan atau keraguan seseorang terhadap sesuatu perkara. Rogers (dalam
Corey, Corey & Callahan 1998) menyatakan bahawa seseorang yang boleh
menunjukkan sifat berempati akan lebih mudah berinteraksi dengan orang lain
terutama dalam proses membantu seseorang. Guru perlu memiliki sikap ini supaya
dengan mudah memahami dan mendekati murid. Murid akan berasa selesa bersama
guru dengan adanya kemahiran tersebut.
Faktor atribusi
terakhir yang dicadangkan oleh Goleman (1999) ialah kemahiran bersosial (social
skills). Beliau menyatakan bahawa faktor kemahiran bersosial ini membolehkan
seseorang mengurus pelbagai emosi secara efektif dalam perhubungan. Mereka juga
mampu mentafsir dengan tepat situasi sosial dan jaringannya selain daripada
mahir memujuk dan memimpin. Seseorang guru yang mempunyai kemahiran bersosial
yang berkesan juga mampu menjadi pakar runding yang baik disamping berkebolehan
menyelesaikan konflik bagi mewujudkan kerjasama dan semangat berpasukan dalam
bilik darjah.
Selain itu
hubungan interpersonal yang baik juga perlu bagi guru antaranya berkongsi
masalah dengan rakan sekerja, rakan sekerja sentiasa memberi kerjasama dan
sentiasa mendapat galakan daripada pentadbir atau pengetua. Guru juga telah
dibebankan dengan pelbagai tugasan pentadbiran yang telah menjadi rutin
pekerjaan mereka, umpamanya mengisi borang, mengutip yuran, mengemas kini
kedatangan pelajar, menyediakan laporan prestasi, menyediakan soalan ujian dan
peperiksaan, memberi bimbingan dan pelbagai lagi bagi memajukan pelajarnya.
Kyriacou (1987)
juga menekankan bahawa stres yang berpanjangan boleh melemahkan mental dan
fizikal serta berupaya melemahkan secara signifikan kerjaya guru dan prestasi
pelajarnya kerana stress menjejaskan kualiti pengajaran dan komitmen para guru.
Keberkesanan sesuatu pendidikan adalah bergantung kepada pengerak utama sistem
ini iaitu guru-guru. Prestasi guru dan komitmen adalah penting bagi seseorang
guru untuk membantu anak bangsa dalam memperolehi kejayaan.
5.0 KAEDAH ISLAM
DALAM MENANGANI STRES
Islam merupakan
agama yang sempurna. Cara yang terbaik dalam menangani stres ialah dengan
mendekatkan diri kepada Allah. Hashim Anang (2009) menyatakan pendidikan dan
pengamalan Islam yang sepenuhnya akan membantu mengatasi masalah stres
dikalangan guru.
Seorang guru
yang beragama Islam seharusnya memainkan peranannya sebagai agen dakwah dengan
melakukan segala perintah di dalam agama Islam terlebih dahulu. Di dalam ajaran
Islam misalnya, amalan solat yang khusyuk lima waktu sehari semalam sebenarnya
merupakan kaedah terbaik untuk mencapai kejayaan dalam kehidupan sekaligus
menangani segala masalah. Allah SWT berfirman dalam surah al-Mukminun,
23: 1&2 yang bermaksud: "Sesungguhnya berjayalah orang-orang Yang
beriman, Iaitu mereka Yang khusyuk Dalam solatnya".
Perkataan “aflaha”
atau berjaya di sini bukan sekadar berjaya di dunia malah berjaya juga di
akhirat. Mereka yang beroleh khusyuk dalam solat, akan juga beroleh khusyuk dan
ketenangan dalam kehidupan dan minda mereka. Malah seruan azan juga turut mengaitkan
solat dengan kejayaan. Marilah bersolat dan marilah menuju kejayaan.
Abu Darda' di
dalam kitab al-Asas fi Tafsir menyatakan bahawa khusyuk itu ialah pengagungan
terhadap Tuhan, keikhlasan dalam perkataan, kesempurnaan dalam keyakinan,
memberikan sepenuh perhatian dan tidak berpaling ke kiri dan kanan kerana ia
adalah dari syaitan. Faedah khusyuk ini akan membina jati diri seseorang muslim
yang taat dan soleh, yang tenang dan aman jiwanya dan yang ikhlas dalam
tindak-tanduk amalnya. Ketenangan jiwa merupakan penawar utama bagi masalah
stres.
Berzikir juga
merupakan amalan yang mampu menenangkan jiwa dan menghilangkan stres. Dalam hal
ini, Allah SWT memberi jaminan bahawa mereka yang senantiasa mengingati-Nya
akan beroleh ketenangan hati. Allah SWT berfirman dalam surah al-Rad, 13: 28
yang bermaksud, "(Iaitu) orangp-orang yang beriman dan tenang tenteram
hati mereka dengan zikrullah". Ketahuilah Dengan "zikrullah"
itu, tenang tenteramlah hati manusia". Allah SWT juga berfirman dalam
surah al-Baqarah, 2:152 yang bermaksud; "Maka berzikirlah (ingatlah)
kepada-Ku, nescaya Aku akan mengingati kamu sekelian".
Amalan membaca,
mendengar dan menghayati al-Quran juga mampu menjadi penenang kepada jiwa.
Diriwayatkan bahawa Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud: "Al-Quran
adalah penawar kepada kesakitan minda". (Hadis riwayat Bukhari).
Rasulullah SAW juga pernah bersabda: "Didiklah anak-anak kamu atas
tiga sifat iaitu: Cintakan nabi mereka, cintakan keluarga nabi dan membaca
al-Quran".
Jelas di sini
berdasarkan pencerahan beberapa amalan di atas, Islam mempunyai kaedah
tersendiri dalam menjaga kesihatan jiwa dan menangani stres. Mereka yang
mengalami stres khususnya di kalangan guru seharusnya berusaha mencapai solat
yang khusyuk, sentiasa berzikir dan menghayati isi kandungan al-Quran.
Amalan-amalan ini terbukti mampu menjadikan diri kita sihat zahir dan batin.
6.0 PENUTUP
Profesion
perguruan adalah profesion yang tidak mempunyai pembahagian masa yang jelas
antara masa bekerja dan masa tidak bekerja. Keadaan sedemikian sememangnya
mewujudkan stres kepada guru-guru.
Profesion
keguruan dan tugas guru merupakan bidang yang kompleks dan mencabar. Guru bukan
sahaja perlu mengajar, malah perlu melakukan kerja-kerja pengkeranian dan
pentadbiran, menjalankan aktiviti kokurikulum dan juga melibatkan diri secara
aktif dalam Persatuan Ibu-Bapa dan Guru. Disamping kerja-kerja yang dinyatakan,
guru juga perlu memastikan tanggung jawab utama iaitu berinteraksi dengan
pelajar-pelajar secara fizikal, dan emosi semasa proses pengajaran dan
pembelajaran berlangsung dalam keadaan yang kodusif.
Boleh dikatakan
stres dapat dikawal dengan baik oleh guru sekiranya mereka mementingkan kepada
cara-cara untuk menguruskan stres tersebut. Pengurusan stres amat kritikal atau
diperlukan oleh guru bagi memastikan mereka sentiasa bersedia untuk
menghadapi segala cabaran dalam profesion keguruan dan dunia pendidikan yang
mendatang. Hal ini seterusnya akan membantu pemecutan kemajuan bidang
pendidikan negara.
Disediakan Oleh
: Ahmad Faiz Bin Malek Sifulazan